
“Benarkah tuan hamba ini, Murni? Sungguh jelita wajah tuan hamba,” Teruna menyapa Murni, yang sedang duduk memerhati sekumpulan orang Aslimel mempersembahkan tarian perang.
“Ya, benar. Hamba adalah Murni. Murni yang pernah kanda hina satu masa dahulu. Masakan kanda sudah lupa?” sinis Murni membalas.
Berubah wajah Teruna tetapi, segera dia tersenyum bagi menyembunyikan perasaannya. “Perkara yang sudah lepas, biarkanlah berlalu,” ujarnya bersahaja.
Manis yang ternampak tunangnya mendekati Murni segera menghampiri mereka. Dia menarik Murni ke satu sudut. “Kau sudah lupakah, Teruna itu bakal menjadi abang iparmu?”
“Usah bimbang. Antara kami tidak ada apa-apa.” Murni menyentap tangannya dari genggaman Manis. Dia meninggalkan saudara kembarnya yang sedang marah itu, menuju ke arah bapanya yang sedang berbual dengan seorang lelaki Chaiya.
“Ini rakan dagang tuk penghulu, Hang Aru.” Bapanya memperkenalkan pedagang dari Negara Chaiya itu kepada Murni.
Murni memaniskan mukanya sambil menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.
Hang Aru menjeling sekilas wajah perawan jelita itu. Dia tersenyum sambil mengangguk-ngangguk.
Setelah selesai keraian malam itu para tetamu meminta diri. Murni, kembarnya dan bapanya juga memohon diri. Malam gelap. Jamung yang mereka gunakan buat penyuluh jalan tidak cukup menerangi. Sampai di simpang menghala ke rumah mereka, tiba-tiba sahaja sekumpulan manusia bertopeng menyerang dan melarikan Murni!
“Bapak! Tolong!” Hanya jeritan Murni yang melengking dalam kepekatan malam. Bapa dan kembarnya sedang terbaring di atas tanah tidak sedarkan diri.
No comments:
Post a Comment