“Siapakah kamu ini? Berani menceroboh masuk ke istana beta dan berani pula mencederakan pengawal istana beta!” Herdik Raja Barbiga dengan sombong. Dia menyoroti wajah Melati dengan pandangan jijik, melihat seorang manusia yang tidak mempunyai apa-apa pangkat kebesaran. “Mahukah tuanku mendengar satu cerita?” Melati memulakan bicara. Dia belum mahu berterus terang maksud kedatangannya yang sebenar.
“Kalau sekadar hendak bercerita, tidak perlulah kamu menceroboh ke mari!” Raja Barbiga masih meninggikan suaranya. Dia marah dengan sikap yang ditunjukkan Melati. Dia juga dapat merasakan seolah Melati sengaja hendak mempermainkannya.
Melati senyap seketika. Cuba membaca rentak seorang raja.
“Baiklah, kalau kamu benar-benar hendak menjadi seorang penglipurlara, silakan. Kalau beta suka, beta akan jadikan kamu penglipurlara istana. Jika tidak, beta akan humban kamu keluar dari istana beta ini!” Raja Barbiga tersenyum sinis.
“Pada suatu masa dahulu, ada seorang ibu yang sangat penyayang,” Melati memulakan ceritanya. Sambil bercerita dia melirik ke sekeliling istana, mengharap agar dapat melihat wajah anaknya.
“Teruskan bercerita,” desak Raja Barbiga. Baginda hilang sabar dengan sikap yang ditunjukkan Melati.
“Satu hari anaknya diculik. Penculik itu pula menyerahkan anak itu, kepada seorang raja yang sangat baik hati. Raja itu mengambil anak itu tanpa baginda sedar bahawa anak itu masih mempunyai ibu, yang sedang menderita menanggung rindu. Selepas beberapa hari, ibu budak itu mendapat tahu anaknya dipelihara oleh seorang raja. Jadi dia datang ke istana raja tersebut, dan meminta semula anaknya. Sebagai raja yang baik hati, apakah tindakan raja itu, tuanku?”
“Sudah tentulah raja itu memulangkan semula anaknya,” jawab Raja Barbiga dengan bangga. Sebagai seorang raja baginda berbesar hati, mendengar cerita yang memuji-muji seorang raja seperti itu.
“Jadi, sebagai seorang raja yang baik hati, tuanku hendaklah memulangkan semula anak patik, yang tuanku ambil secara tidak sengaja itu,” kata Melati dengan pandangan penuh harap.
“Apa maksud sebenarmu, wahai perempuan?” Dahi Raja Barbiga berkerut.
“Patiklah ibu kepada anak itu, dan tuanku adalah raja yang baik hati itu,” Melati berterus terang.
“Apa?”
“Tuanku mengambil hak patik. Hari ini patik datang adalah untuk mendapatkan hak patik itu semula. Tolonglah patik tuanku. Pulangkan semula anak patik. Patik terlalu merinduinya.”
“Beta tidak faham apa yang kamu maksudkan,” jawab Raja Barbiga dengan dada yang semakin kuat debarnya.
No comments:
Post a Comment