‘Cikgu Murni adalah guru yang suka pilih kasih.’‘Kalau cikgu ada masalah, Cikgu boleh cerita kepada kamilah. Nanti kami boleh tolong selesaikan.’
‘Cikgu bukannya cantik.’
‘Kami tahu kami bukan budak pandai. Tetapi cikgu pun, bukannya pandai sangat.’
‘Cikgu Murni, kami tidak suka dengan perangai cikgu!’
‘Cikgu asyik menangkan Sazali sahaja. Apa cikgu ingat Sazali itu baik sangatkah?’
Cikgu Murni terkejut melihat tulisan-tulisan yang berterabur di dinding luar kelasnya itu. Darahnya berderau naik ke muka. Beliau semakin berang apabila melihat satu gambar orang lidi dilukis dengan dua batang taring terjulur keluar dari bibirnya. Di sebelah gambar itu ditulis, ‘Ini Cikgu Murni. Cikgu Murni ada taring!’
“Ini sudah tentu kerja budak-budak dalam kelas ini.” Cikgu Murni mendengus. Beliau masuk ke dalam bilik darjah itu dengan muka yang masam. Buku-buku latihan anak-anak muridnya dihempas ke meja. Sejurus beliau menghempaskan pula pungungnya ke kerusi.
“Mengapa masam sahaja muka Cikgu Murni?” bisik Adam sambil menyinggung bahu Zaed.
Zaed meletakkan jari telunjuknya ke mulut. “Syy... lebih baik awak diam. Silap haribulan, Cikgu Murni mengamuk kepada, awak.”
Adam tidak bersuara sebaliknya pantas menundukkan mata apabila tersedar Cikgu Murni sedang merenungnya.
“Siapa yang conteng dinding di luar?” Cikgu Murni bertanya sambil merenung pelajar-pelajarnya seorang demi seorang. Badannya berasa hangat kerana terlalu marah.
Semua pelajarnya di dalam kelas itu membisu. Tiada seorang pun yang mahu mengaku.
“Seorang pun tidak ada yang tahu?” Cikgu Murni semakin berang dengan sikap membisu anak-anak muridnya.
Pelajar-pelajarnya menikus. Masing-masing berdebar-debar kerana takut dituduh.
“Cakap! Siapa yang lukis gambar orang lidi yang ada taring itu?” sergah Cikgu Murni. Jantungnya berdetup semakin laju sehingga terasa sukar hendak bernafas.
Pelajar-pelajarnya terus mengunci bibir.
“Sampai hati awak kata cikgu seperti itu,” suara Cikgu Murni mulai kendur. Beliau menundukkan mukanya merenung meja.
“Cikgu Murni menangiskah?” bisik Adam kepada Zaed.
No comments:
Post a Comment