
“Siapa yang telefon tadi?” Noryani tiba-tiba menyapa Puteri yang nampak seperti orang kebingungan.
“Lelaki yang datang ke rumah kita malam tadi,” jawab Puteri sambil menggeleng. “Entah dari manalah dia dapat nombor telefon taska ini,” rungut Puteri.
“Orang di Taman Intan yang beri agaknya,” serkap Noryani sambil tangannya sibuk memakaikan lampin pakai buang pada anak jagaannya.
“Barangkali,” jawab Puteri lalu mencapai kain lampin yang telah kotor kepunyaan seorang anak jagaannya. Kain lampin itu dimasukkan ke dalam plastik yang tergantung di tepi bilik air.
“Hairan betul dengan tingkah lakunya,” luah Noryani apabila Puteri datang semula ke sisinya.
“Siapa? Ayah Saiful itu?”
Noryani mengangguk.
“Kakak juga rasa pelik. Apa yang dia mahu dari kakak? Tiba-tiba sahaja dia menjadi begitu prihatin pada kakak.” Puteri mendukung Masyitah yang terkuit-kuit dari tadi. Bayi itu antara hendak menangis dan hendak tidur. Barangkali dia kurang selesa dengan selsemanya.
“Hendak tahu? Dia tawarkan kakak tinggal di rumahnya,” kata Puteri sambil mengambil botol susu di dalam katil bayi itu. Dia memangku Masyitah lalu menyuakan puting botol susu itu ke mulut bayi itu.
“Apa? Begitu sekali?”
Puteri mengigir bibir dan mengangguk.
“Itu sudah bahaya!” Noryani mengusik.
Puteri ketawa. “Entahlah. Kakak pun tidak faham. Bukannya kakak ada buat apa-apa. Kakak hanya memujuk anak dia masuk ke kelas. Itupun dia sudah pandang kakak ini dengan pandangan lain. Tetapi, mungkin kakak yang buruk sangka. Barangkali dia benar-benar ikhlas hendak menolong.”
“Orang lelaki ini, bukan boleh lihat orang perempuan buat baik pada anak mereka. Mereka cepat tersentuh,” ujar Noryani. “Entah-entah dia sudah jatuh cinta pada kakak,” Noryani menyakat.
Puteri ketawa lagi, kali ini lebih kuat. “Bukannya bujang. Suami orang.”
“Lelaki boleh kawin empat kakak oiii...”
No comments:
Post a Comment